Beri tumpuan kepada Penanti
Gusar, sebak dan sedih, itulah antara perasaan penulis ketika ini melihat pendokong Parti Islam begitu mudah dipermainkan oleh media dan dibuai penuh syahdu dengan ribuan pengunjung ke blog mereka. Blog merupakan alternatif kepada sumber berita dan menjadi medium utama untuk pimpinan sampai kepada rakyat mahupun penyokong. Malah, keputusan cemerlang Pakatan Rakyat dalam ujian PRU yang lalu juga kerana sumber blog dan internet yang menjadi sumber berita rakyat.
Namun, hari ini senjata yang hebat ini dilihat seolah-olah ’makan tuan’ apabila blog-blog ini digunakan untuk tujuan yang memberi bahaya kepada Parti Pas. Pakatan Rakyat yang masih setahun jagung ini seharusnya diberi kekuatan untuk bersaing dengan BN yang sudah semakin nyanyuk mencapai umur lebih separuh abad, tetapi dilihat hubungan antara mereka bergaya digoyahkan oleh media.
Barangkali kerana usia yang masih hijau ini, maka tidak pelik jika mereka sekali sekala kurang matang, tetapi jika di dalam PAS sendiri sudah ada yang menggunakan blog untuk memancung sahabat sendiri, penulis merasakan akhlak ini kurang wajar dilakukan oleh pejuang Islam.
Bermula dengan isu Ust. Nik Abduh yang melepaskn peluru tabur di dalam blog beliau kepada sahabt-sahabat sekeliling. Entah berapa puluh berita berjaya dicipta oleh akhbar perdana untuk santapan rakyat jelata. Tersenyum lebar para pimpinan UMNO membaca ulasan kurang cerdik ini. Pembantu Tuan Guru jumlahnya ramai, semestinya peluru ini terkena kepada mereka yang tidak bersalah dan terjadilah fitnah dalam jemaah. Apalah salahnya jika perkara ini dibangkitkan di dalam mesyuarat tertutp kerana sudah pasti pembantu yang dipercayai Tuan Guru mempunyai jawatan tertentu. Sebaran berita kepada umum nyata membawa faedah kepada BN.
Seharusnya tumpuan sekarang dihalakan ke Penanti yang menjadi medan pentempuran antara Pakatan Rakyat dengan BN. Banyak lagi urusan lain yang boleh dilakukan selain bertelagah sesama sendiri. Tidak suka dengan Penanti, halakan tumpuan ke Perak. Di sana ada YAB Nizar yang bertungkus lumus mempertahankan kerajaan negeri. Belum pun reda isu Ust Nik Abduh, timbul pula isu YB Husam-Ust Nasarudin. Aduhai, malang sungguh nasib kita. Lebih-lebih lagi ada antara mereka diapi-apikan oleh kononnya pendokong pas.
Ya, sudah semestinya Ust Nasarudin tiada masalah dengan Husam, tetapi tulisan Ust Nasa di dalam blog beliau yang femes itu membawa kepada ulasan yang pelbagai oleh media.Rakyat termasuk penulis, bahkan media sendiri tidak terfikir sampai ke tahap seperti yang ditulis oleh Ust Nasa. Mereka membaca sekali lalu apa yang ditulis oleh YB Husam tetapi bila diolah oleh Ust Nasa secara mendalam nyata sekali isu ini dimainkan dengan cemerlang sekali oleh media.
Aduhai, tidak bolehkah mereka saling mendapatkan antara satu sama lain untuk meminta jawapan? Bukankah Kelantan dan Pahang adalah berjiran? Kini di zaman moden ini tidak perlu berjalan kaki atau menaiki unta seperti Imam Bukhari yg mengumpul hadith. Tidak perlu bergerak, cukup sekadar menggunakan ibu jari untuk mendail telefon, bukan hujung jari menulis di blog. Atau mereka saling tidak menyimpan nombor telefon? Amatlah malang jika sampai ke tahap itu ukhuwwah antara pimpinan PAS.
Jika sesebuah blog itu ditulis oleh penulis kecilan seperti saya, tiada siapa yang akan peduli, tetapi jika ia ditulis oleh para pimpinan, sedarlah, media sentiasa mengintai blog anda. Tulisan anda mewakili jawatan yang anda sandang bahkan kadangkala mewakili parti. Berhentilah dari menulis tentnag sahabt sendiri.








