Analisis Pemilihan Agong UMNO
Aku bukan ahli UMNO, malah bukan juga ahli kepada mana-mana pertubuhan politik, tetapi aku terpanggil untuk mengulas serba sedikit tentang Pemilihan Agung UMNO yang berlangsung dengan jayanya pada 24-28 Mac yang lalu.
Secara rasminya Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Presiden UMNO merangkap Presiden Barisan Nasional. Adakah beliau akan menduduki takhta kerajaan Malaysia? Itu belum pasti kerana Pak Lah belum mengumumkan perletakan jawatan sebagai Perdana Menteri. Namun difahamkan Pak Lah akan berjumpa Yang Di Pertuan Agong pada 2 April nanti untuk memaklumkan perletakkan jawatan beliau dan JIKA DIBERI PERKENAN, Datuk Seri Najib akan mengisi jawatan tersebut. Di sebalik semua ini, rasa tidak enak juga kerana Presiden UMNO ini mempunyai pelbagai kontroversi yang menyelubungi.
Di akhir zaman ini, manusia tidak malu lagi untuk melakukan dosa bahkan berbangga dengan dosa yang dilakukan. Ini dibuktikan dengan bekas calon Timbalan Presiden yang juga merupakan Ketua Menteri Melaka yang langsung tidak berasa bersalah dengan dosa yang dilakukan beliau. Bahkan bangga dengannya sehingga tidak mahu melepaskan jawatan tertinggi di dalam kerajaan Negeri Melaka. Malang sekali rakyat Melaka yang berketuakan seorang perasuah yang telah terang-terangan didapati bersalah.
Datuk Seri Shahrizat Abd jalil yang telah pun diberi isyarat jelas oleh rakyat Lembah Pantai bahawa rakyat menolak mereka tetapi masih diberi talian hayat oleh UMNO untuk terus berkhidmat di dalam kerajaan mengalahkan Tan Sri Rafidah yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Barangkali kerana mereka telah muak dengan tokoh vateren tersebut dan tiada pilihan lain selain Datuk Seri Shahrizat.
Bagaimana pula dengan Pemuda? Tidak perlu dijelaskan dengan lebih mendalam lagi. Orang yang telah didapati bersalah, tetapi tidak dihukum bahkan diberi peluang untuk bertanding, kemudian dipilih menerajui barisan paling hadapan dalam UMNO. Apakah yang boleh diharapkan lagi bilamana perasuah diberi kedudukan yang paling tinggi dalam sesebuah pergerakan.
Resolusi agama dari Perhimpunan Agong amat baik sebenarnya. Sama juga 10 prinsip Islam Hadhari yang diperkenalkan Pak Lah. Ketepikan seketika istilah kontroversi itu kerana kandungannya yang baik itu. Bahkan resolusi dan prinsip itu boleh digabung jalinkan untuk membentuk satu silibus usrah yang mantap. Namun sayang, resolusi hanya tinggal resolusi, prinsip hanya tinggal prinsip apabila orang yang terang-terangan tidak mahukan Islam berada di atas.
Ayuh, rakyat Bukit Gantang, pilihlah pemimpin yang komited dan berguna kepada Islam. Kalau dalam perkara jelas sebegini masih ada yang sangsi, cuba cek balik apa yang patut.
