Bila katak mula berkokok
Berkokok adalah sifat seekor ayam. Tidak pernah kita melihat katak berkokok, tapi apa akan jd bila katak mula berkokok. Entry kali ini ditulis dengan penuh emosi apabila geram dengan tindakan seorang MP dari Kelantan yang suka berkokok bagi mencari publisiti. Berhujah bagaikan hero seolah-olah dia saja yang betul dan dia apa yang dilakukan orang lain semuanya karut.
Sifat katak pada dirinya menyebabkan dia dihumban oleh kumpulan sendiri menyebabkan beliau mencari identiti tersendiri. Cuba melawan arus akhirnya kecundang dan tersepit dek kerana tsunami yang melanda. Lemas kerana tiada tempat berpaut. Tiada sesiapa yang mempedulikannya sehingga beliau terpaksa merayu belas ihsan Tuan Guru untuk kembali ke Parlimen. Barangkali kerana sedar kudrat dan pengaruhnya makin lemah, Parti Islam dilihat sebagai penyelamat yang akan membawa beliau kembali ke Parlimen. Barangkali kerana kesian melihat katak yang tersepit selepas terhumban dan menganggap sudah ada sinar keinsafan selepas tersepit sekian lama, restu Tuan guru membebaskan beliau dari tersepit. walaupun terpaksa mengetepikan perasan penyokong Parti Islam. lalu apa yang terjadi? Bagaikan melepaskan anjing tersepit, digigit kembali tangan yang melepaskannya selepas berjaya mendapat kedudukan yang baik.
Barangkali inilah politik. Berpaut pada sesiapa saja ketika lemas. Sudah selamat, dahan tmpat berpaut dilepaskan bahkan dipijak-pijak. Lupa bahawa dia hampir lepas dan dahan itu yang menyelamatkannya dulu. Malang sekali jika kita menjadi seperti ini.
Biarkanlah dia berkokok sepuas hati untuk penggal terakhir ini. Barangkali ingin melepaskan gian selepas sudah lama tidak berada di kerusi empuk itu. Cuba menjadi hero kepada rakyat, tapi diri sendiri tidak berprinsip. Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya.
PM terperangkap dalam lif
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terperangkap dalam lif selama kira-kira 30 minit di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Turut terperangkap bersama beliau di dalam lif tersebut ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Ismail Adam.
Ekoran itu, Abdullah terpaksa membatalkan sidang akhbarnya yang dijadual diadakan selepas beliau merasmikan majlis pelancaran sambutan Jubli Perkhidmatan Awam (JPA) di pusat tersebut.
Insiden tersebut juga menyebabkan majlis pelancaran itu turut tertangguh.
Menurut sumber, majlis tersebut sepatutnya bermula jam 10.30 pagi tetapi telah tertangguh sehingga jam 11 pagi.
Menurutnya, beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejar ke pusat untuk membawa keluar kesemua mereka yang terperangkap dalam lif tersebut.
“Datuk Seri Abdullah kelihatan tenang sahaja, malah beliau sempat tersenyum kepada ke arah orang ramai yang berada di luar lif tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, Abdullah kelihatan terbatuk-batuk ketika menyampai ucapannya di majlis tersebut.
Sementara itu, difahamkan seorang pembantu perdana menteri telah meminta wakil-wakil media supaya tidak melapor atau menyiarkan gambar insiden tersebut.
Sumber itu berkata ketua pengarah JPA, dalam ucapannya, memohon maaf kepada Abdullah berhubung insiden terperangkap dalam lif tersebut.
sumber : malaysiakini
Kerajaan Pakatan Rakyat, Kerajaan Buangan
“Kita juga secara prinsip kenderaan yang digunakan akan diserahkan dan diletakkan di kediaman Menteri Besar sebagai menghormati undang-undang yang ada. Tidak ada apa-apa elemen, tidak menjejaskan kepada apa-apa kes kami yang dibuat sebelum dari ini, kerana itu kenderaan diserahkan di sini sehingga keputusan dari mahkamah diputuskan’ Katanya..
Hadir sama dalam sidang akhbar itu ialah Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain.
Beliau juga memaklumkan akan menyerahkan kediaman Menteri Besar dalam masa terdekat, secara rasmi akan keluar dengan terhormat, dan menyewa tempat dekat dengan anak-anak yang bersekolah. Keputusan ini juga tidak memudaratkan proses mahkamah kami.
“Pakatan Rakyat akan hadir dalam Majlis Jubli Perak pada 14 Februari ini, bersama dengan pimpinan dan seluruh Sultan, pembesar negara termasuk Sultan Brunei.” Umum beliau.
Menganai kenapakah difailkan kes di Mahkamah Kuala Lumput, Ir. Nizar mengatakan “kami merasakan oleh beberapa hal yang perlu diambil kira, kita dinasihatkan oleh peguam kita “
Sebahagian wartawan yang hadir.
Menteri Besar juga menjelaskan kenderaan diletakkan di sini sehingga selesai kes mahkamah dan akan gunakan kenderaan peribadi .
Mengenai tempat mesyuarat dan pertemuan lain beliau menyatakan akan diadakan tempat lain yang difikirkan sesuai, Dia mengistilahkan Kerajaan pakatan Rakyat sebagai “kerajaan buangan”.
Bila menjawab berkenaan dengan perhimpunan di Kuala Kangsar,Ir. Nizar itu menegaskan Pakatan Rakyat terlibat dengan apa-apa perhimpunan sedemikian rupa dan beliau menafikan PR tidak terlibat dalam menghimpunkan rakyat itu.
Menjawab soalan berkaitan kes di mahkamah, Dato’ Ngeh Koo Ham berkata akan dibuat esok pada jam 11.30 di Mahkamah Tinggi Jalan Duta dengan satu team peguam seramai 12peguam yang telah dipanelkan.
Ditanya mengenai perasaan bila ingin keluar dari Kediaman Rasmi, katanya ” perasaan saya nak keluar seperti berhijrah sebentar dan balik semula ke Markah “.
Ir. Nizar juga menyatakan keyakinannya akan kembali ke kediaman rasmi .
Mengulas Isu pelantikan 4 orang setaraf exco beliau mengatakan ia diputuskan sebelum sebelum exco mesyuarat dan wang rakyat telah dibazirkan dengan pelantikan itu..
Menteri Besar Pakatan Rakyat itu ketika diminta mengulas mengenai calon Bukit Gantang beliau menjawab ” belum lagi, terlalu awal “.
Nizar : Penderhaka atau mohon derhaka
Media kerajaan milik rakyat Malaysia sudah gagal berfikiran rasional. Berbagai tohmahan dan kritikan serta cacian dihamburkan kepada MB Nizar. paling nyata apabila kenyataan ‘patik pohon derhaka’ dianggap sebagai penderhakaan kepada sultan seperti penderhakaan Hang Jebat yang menimbulkan huru-hara di Perak.
Walaupun penulis lebih menghormati Hang Jebat dari Hang Tuah, namun tindakan YAB Ir Nizar tidaklah sampai kepada ingin berlawan dengan Sultan. Kenyataan tersebut hanyalah menggunakan bahasa yang sepatutnya untuk menunjukkan titah raja itu adalah salah. Sultan Perak adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Darah Tuanku juga merah seperti rakyat kebanyakan dan Tuanku juga adalah umat Nabi SAW dan Hamba Allah yang Esa. Sudah tentu titah tuanku juga ada yang silap. Hanya quran dan hadith saja yang tidak boleh dicanggahi. Lantas, YAB Nizar memohon derhaka kepada Tuanku untuk tidak menurut apa yang dipinta kerana ianya bersalahan dengan apa yang sepatutnya.
Barangkali Sunnah kepimpinan ini dapat difahami oleh semua tentang pentingnya mempertahankan amanah ini.
“Wahai Uthman, seandainya suatu hari nanti kamu dilantik oleh Allah mengendalikan urusan kepimpinan ini, dan kaum munafiq mahu menanggalkan pakaian engkau yang Allah pakaikan kepadamu, maka JANGANlah engkau menanggalkannya!” [riwayat Ibn Majah]
Isu Perak : Perutusan YAB Ir Nizar
BismilahirRahmanirRahim.
Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.
Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.
Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.
Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.
Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri
secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.
Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.
UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.
Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar
Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :
Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.
Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.
Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.
Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?
Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.
Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat
Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.
Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.
Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.
Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.
Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.
Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.
Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.
Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak
Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.
Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.
IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN
Menteri Besar Perak
Datuk Zambry dilantik MB baru, Pakatan Rakyat masih bertahan
ADUN Pangkor, Datuk Dr Zambry telah dimahsyurkan sebagai MB Perak ke-11 selepas diperkenankan oleh Sultan Perak. Namun, pakatan rakyat masih bertahan di Perak dan YAB Ir Nizar masih belum berganjak dari kedudukan beliau sebagai MB.
Penulis berasa agak pelik dengan situasi di Perak. Pertama, MB baru dilantik, sedangkan Perak masih mempunyai MB. Seharusnya MB yang lama meletak jawatan sebelum lantikan MB yang baru. Jika MB hilang kepercayaan ADUN, usul tidak percaya perlu diadakan dan ianya memerlukan persidangan DUN untuk melakukannya.
Apapun, Pakatan Rakyat masih mempertahankan amanah yang diberikan oleh rakyat pada PRU yang lalu. Begitu berat untuk memikul amanah tersebut, apalagi ianya cuba diragut oleh insan yang akan bercita-cita menjadi PM pada bulan hadapan. Apapun, moga ujian dan dugaan ini akan menjadikan kita insan yang hebat. Inilah tapisan Allah untuk membuang kekotoran yang ada dalam Pakatan Rakyat.
Bersabarlah.
Sementara itu, FRU dilaporkan terus menggempur Masjid Ubudiyah bagi menekan para pejuang yang sedang mempertahankan kerajaan yang sedia ada. Tuntutlah saham pengorbanan ini di hadapan Allah kelak. Ikhlaskan diri dalam perjuangan.
FRU mengganas di Masjid Ubudiyah, Perak
KUALA KANGSAR, 6 Feb (Hrkh) – 3.20 petang:FRU sedang melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai yang sedang berhimpun di luar Masjid Ubudiyyah.
Dalam pada itu, didapati beberapa das gas pemedih mata turut dilepaskan ke dalam masjid dan ini telah menyebabkan gangguan kepada jemaah yang masih berada dalam masjid yang sedang membaca Yassin.
Sementara itu, seorang bekas anggota FRU yang turut berada di lokasi kejadian menyifatkan tindakan FRU adalah melampau dan melanggar prosedur kerana melepaskan gas pemedih mata ke dalam masjid.
Selain itu, dalam tinjauan wartawan Harakah mendapati orang ramai sedang cuba untuk menutup pintu masjid bagi mengelak serangan FRU yang makin membabi buta
sumber : harakahdaily









