Mujahid Muda

Sekadar menterjemah apa yang ada di fikiran

Video sajak kematian : wajarkah?

“Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak akan membawa manfaat. Saya secara peribadi tidak setuju tetapi sebenarnya penolakan (klip video) itu datang daripada ibu bapa sendiri”, kata Menteri. Setelah 3 hari isu ini berlegar di kalangan rakyat, ianya diakhiri oleh kata putus pendirian Kementerian pelajaran Malaysia menerusi menterinya Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yang juga calon Naib Presiden UMNO.

Ya, betul, video ini akan menakutkan kanak-kanak untuk tidak solat, menipu, menderhaka dan sebagainya. Ia juga akan mendidik anak-anak supaya TAKUT  kepada rasuah, politik wang dan dosa. Jadi apa?

Isu video sajak kematian ini sebenarnya sudah lama berada di pasaran dan kerap ditayangkan oleh penjual cd dan kaset di pasar-pasar malam. Sejak belajar di UM lagi saya telah menonton cd ini dan ianya amat mendapat sambutan daripada pengunjung pasar malam. Namun, isu ini menjadi begitu sensasi apabila ada ibu bapa yang tidak senang dengan tindakan guru-guru yang menayangkan video ini kepada anak mereka yang belajar di tahun 1 dan 2.

Pada saya, pandangan yang dikemukan oleh Datuk Hisham ini amat dangkal dan tidak sesuai diungkap oleh seorang yang bertaraf menteri. Mohon maaf jika term yang digunakan tidak disukai. Penayangan video yang membawa keinsafan kepada anak-anak dikatakan tidak membawa manfaat kerana dikatakan pendekatan yang digunakan tidak berhemah dan bertujuan untuk menakut-nakutkan pelajar. Mungkin beliau sudah lupa bahawa ini adalah zaman millenium dan sekarang kita sudah berada di tahun 2008 menuju ke tahun 2009.

Kepesatan teknologi sekarang menjadikan dunia tanpa sempadan. Jika dulu, anak-anak cukup jika diceritakan tentang azb kubur secara nasihat kerana cabaran mereka tidak secanggih sekarang. Mereka tidak mengenal komputer, internet, vcd dan sebagainya. Permainan mereka hanyalah lompat tali, buah getah, dekcok, tudung botol dan yang sewaktu dengannya. Mereka tidak mengenal internet yang boleh mengakses laman web yang pelbagai (SKMM: dari 25 video lucah popular, 2 saja yang boleh disekat kerana tiada peruntukan undang-undang), mereka tidak mengenal vcd yang pelbagai tajuk dan mudah didapati hanya dengan membelinya di pasar malam, mereka tidak mengenal filem yang penuh adegan seks dan ganas di tv. Namun sekarang, segala-galanya dihujung jari. Tidak peliklah jika Harian Metro pernah melapor tentang budak main zina-zina pada julai yang lalu. Seawal usia ini budak-budak sudah terdedah dengan kerosakan akhlak, lalu bila ingin ditontonkan video yang boleh membawa keinsafan dan mengingati kematian, ada pihak yang tidak bersetuju dengan alasan menakutkan. Pelik, bila disuakan kepada kanak-kanak video yang mengandungi adegan yang tidak sesuai dengan umur mereka, tiada pula rakyat yang prihatin tampil.

Kata mereka yang kononnya cerdik pandai, pelajar seharusnya di kaunseling, hanya perlu dinasihat, pendekatan berhikmah bukannya dengan membuatkan mereka takut. Nah, barangkali kerana pendekatan ‘berhikmah’ inilah yang menjadikan budak-budak sekarang semakin liar dan kurang ajar. Seharusnya didikan ini dimulai sewaktu usia di bangku sekolah rendah lagi supaya mereka menyemat di dalam diri mereka tentang alam kubur. Di dalam quran sendiri, banyak diceritakan tentang azab kubur, neraka dan sebagainya, namun ianya bukan untuk menakutkan tetapi sebagai peringatan kepada ummat manusia.

Siapa yang takut sebenarnya? ibu bapakah? atau seseorang yang risau jika anak-anak ini TAKUT  untuk melakukan rasuah, politik wang, dosa dan akhirnya akan elok akhlaknya.

November 12, 2008 Posted by ririey | Uncategorized | | 1 Comment