Debat : Wajarkah Datuk Shabery letak jawatan?
Sekali lagi saya terpanggil untuk menulis sedikit ulasan tentang isu debat yang masih hangat diperkatakan walaupun sedikit sebanyak dihakis oleh berita penangkapan Datuk Seri ANwar Ibrahim. Walaupun sudah saya terbitkan artikel awal tentang ulasan debat itu, namun rasanya belum lagi menyentuh isu letak jawatan Datuk Shabery sebagai Menteri Penerangan Malaysia. Sebelum itu kredit juga perlu diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sudi menjadi tuan rumah dan menyediakan pentas yang selesa untuk kedua pendebat.
Perlu diingat, debat yang diadakan itu bukanlah untuk mencari siapa menang dan siapa kalah, siapa berani bercakap dan otak siapa yg ligat berfikir. Bukan, bukan dan bukan. Jika pemenang yang dicari, maka ianya tidak ubah seperti pertandingan debat untuk budak-budak sekolah. Adakah taraf kedua pendebat itu sama seperti budak sekolah? Anda pasti tahu jawapannya. Debat yang dianjurkan bukan untuk mencari pemenang, tapi untuk rakyat menilai hujah yang diberikan oleh kedua ahli panel. Datuk Shabery yang mewakili BN berhujah untuk mempertahankan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak manakala Penasihat Parti Keadilan Rakyat berhujah tentang bagaimana mungkin harga minyak dapat diturunkan. Ketepikan isu ahli panel yang merapu dalam memberi soalan kepada pendebat, yang penting adalah hujah yang dikemukakan oleh pendebat dan ianya perlu diambil perhatian.
Berbalik kepada soalan yang asal. Wajarkah Datuk Shabery meletak jawatan selepas kegagalan beliau membela kerajaan? Secara peribadi, saya berpendapat tidak wajar untuk orang yang berani dan bagus seperti Datuk Shabery meletak jawatan. Walaupun beliau gagal mempertahankan kerajaan, namun saya melihat beliau lebih berani berbanding menteri kabinet yang lain atau mungkin ahli kabinet paling cemerlang lebih-lebih lagi jika ingin dibandingkan dengan Syed Hamid Albar yang hanya tahu bercakap kosong didepan lanse kamera tanpa dapat dibahaskan oleh sesiapa. Jika Datuk Shabery meletak jawatan, siapakah yang layak menggantikan beliau? Jangan pula pembaca sekalian memberi nama Zainudin Maiden yang memalukan negara di pentas antarabangsa untuk kembali sebagai jawapan untuk soalan saya ini. Saya risau jika jawatan tersebut diberikan kepada orang yang lebih teruk dan seterusnya menutup pintu yang telah dibuka oleh Datuk Shabery. Sekurang-kurangnya Datuk Shabery tidak memalukan negara di pentas antarabangsa.
Begitu juga isu menyarankan Pak Lah meletak jawatan. Siapa yang akan menggantikan Pak Lah? Apakah kita mengharapkan Datuk Seri Najib untuk mengambil jawatan tersebut jika dikosongkan oleh Pak Lah? Najib lebih baik dari Pak Lah ke? Atau jika ingin diambil oleh Pakatan Rakyat, adakah Pakatan rakyat sudah bersedia untuk memikulnya? Saya risau jika dalam keadaan Pakatan belum bersedia, Pak Lah diganti oleh pemimpin yang lebih teruk dari beliau. Seteruk-teruk Pak Lah, beliau tidak dikaitkan dengan pembunuhan profesional yang sekaligus membawa keburukan kepada negara.
