Debat : Satu permulaan yang baik
Jalan raya kelihatan lengang semalam lantaran rakyat memilih untuk berada di depan kaca televisyen bagi menonton debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia yang dianjurkan oleh sebuah laman web berita. Perjalanan debat berlangsung dengan lancar walaupun dilaporkan ada insiden kecil selepas debat tersebut.
Saya tidak ingin menyentuh tentang isi kandungan debat yang hangat diperkataan hari ini. Pelbagai ulasan dibuat samada di pejabat, tempat makan mahupun di laman-laman blog yang lain. Ada yang mengkritik Datuk Menteri Penerangan yang tidak menjawab soalan dan lebih menjelikkan menyerang peribadi di samping kembali kepada sejarah 70-an. Ada juga yang mendakwa hujah yang dikemukan oleh DSAI tidak menyakinankan seperti ulasan Datuk Sharir Samad. Bagi saya, biarlah rakyat membuat keputusan berdasarkan penerangan dan hujah dari kedua pendebat. Rakyat Malaysia sudah bijak berfikir dan membuat keputusan.
Walaupun Datuk Shabery Cheek menyerang peribadi, tidak menjawab soalan dan masih dihantui sejarah-sejarah dulu, namun sekurang-kurangnya dia berani untuk ke hadapan berbanding pimpinan negara yang lain. Walaupun hujah beliau tidak bernas dan kerap lari dari tajuk, sekurang-kurangnya beliau telah membuka pintu kepada pakatan rakyat untuk ke kaca televisyen. Walaupun pintu itu tidak luas, namun sudah cukup untuk memuatkan rakyat untuk masuk atau ‘mengintai’ dari luar. Ini satu permulaan yang baik dan akan bertambah baik jika pihak pakatan rakyat terus diberi peluang untuk muncul di kaca televisyen.
Malam sebelum Debat antara 2 politikus ini, di tv 9 juga telah berlangsung debat dalam rancangan HUJAH yang menemukan wakil dari Pas, Dr Syed Azman Syed Nawawi dengan Ahli Parlimen Muar dari BN. Ruang-ruang sebegini amat diperlukan oleh Pakatan Rakyat untuk menerangkan kepada rakyat siapa sebenarnya yang bersungguh untuk membela rakyat. Debat dan hujah begini amat penting untuk rakyat menilai sendiri siapakah yang lebih telus.
Disebalik kegagalan Datuk Shabery Cheek membela kerajaan, saya memuji tindakan berani beliau untuk tampil kehadapan. Ianya lebih baik dari bercakap di belakang tanpa dapat dibahaskan oleh orang yang dituduh. Semoga ianya membawa era baru kepada industri penyiaran negara dan Datuk Shabery dapat meneruskan lagi program-program seumpama ini untuk masa-masa akan datang.
